Bekerja Demi Hidup, Ikhlas Demi Barakah: Refleksi Hari Pekerja Cara Che Kak

Selamat Hari Pekerja buat semua yang sedang bertungkus-lumus mencari rezeki halal. Pernah tak kita duduk sekejap dan tanya diri sendiri, "Kenapa sebenarnya aku bekerja?"

Sudah tentu jawapan pertamanya adalah demi kelangsungan ekonomi diri dan keluarga. Kita ada bil nak dibayar, ada mulut nak disuap. Namun, sedar atau tidak, bekerja itu sebenarnya jauh lebih besar nilainya. Ia adalah satu ibadah, tuntutan agama dan sumbangan tenaga kita untuk membina negara.

Hari ini, Che Kak bukan berniat nak mengajar tentang ciri-ciri pekerja cemerlang. Che Kak sendiri pun manusia biasa yang banyak kekurangan. Kadang-kadang datang juga rasa lemau, malas dan tertekan. Kita semua tak lari daripada melakukan kesilapan.

Namun, ada satu perkara yang kita perlu sentiasa ingat. Tak ada siapa yang paksa kita bekerja di sini.

Tak ada siapa yang datang melutut mempelawa kita. Kita sendiri yang datang hantar resume, menghadiri temu duga dan memohon kerja atas pilihan sendiri. Jadi, kenapa perlu merungut berlebihan?

Setiap Kerjaya Ada Nilainya

Apa jua pekerjaan kita, sekecil mana pun tugas dan jawatannya, ingatlah bahawa ia tetap memberi manfaat kepada kehidupan sejagat. Pembersih bangunan, kerani, pemandu hinggalah ke jawatan pengurusan semuanya adalah rantaian yang menggerakkan masyarakat.

Bila kita memilih untuk bekerja dalam sebuah organisasi, itu bermakna kita telah bersetuju untuk bekerjasama.

Kita dah tak boleh ikut kepala sendiri:

* Datang kerja sesuka hati.

* Ponteng kerja sesuka rasa.

* Mengabaikan amanah yang diberi.

Kalau tak tahu buat kerja, itu bukan alasan untuk culas. Kita boleh belajar. Jangan pernah malu untuk bertanya dan menambah ilmu.

Pengurusan Kewangan & Kerja Sampingan

Apabila dah terima gaji, uruskanlah kewangan itu dengan bijak.

Kalau orang beri kita pinjam duit, itu bukan kerana dia kaya. Tetapi kerana dia punya belas kasihan. Jangan pernah ambil mudah budi orang.

Zaman sekarang, ramai yang buat kerja sampingan untuk tambah pendapatan. Boleh saja, tak ada salahnya. Tetapi, pastikan ia tidak sampai mengabaikan kerja hakiki yang menjadi punca rezeki utama kita.

Toleransi Suami Isteri & Cabaran Zaman Moden

Bagi wanita yang bekerja, urusan kerjaya jangan sampai mengetepikan restu keluarga. Jangan lupa untuk sentiasa meminta izin dan reda suami.

Dalam masa yang sama, para suami juga perlu realistik. Jangan sesuka hati memaksa isteri berhenti kerja tanpa sebab yang munasabah dan tanpa persediaan kewangan yang rapi.

Ini bukan soal takut suami tak mampu sara. Tetapi realitinya, zaman sekarang penuh dengan cabaran kos sara hidup. Cukuplah kerja si isteri itu dapat membantu memenuhi keperluan asas hidup dan sesekali membolehkan keluarga menikmati sedikit penghargaan atau ganjaran kecil untuk diri sendiri.

Menghargai Pengorbanan Suri Rumah

Walau bagaimanapun, realiti hidup setiap orang tidak sama. Tidak semua isteri mampu atau berpeluang untuk keluar bekerja.

Ada yang terikat dengan tanggungjawab besar menjaga anak istimewa dan ada yang berdepan dengan pelbagai kekangan lain. Ingatlah, surirumah sepenuh masa juga mempunyai pengorbanan yang sangat besar. Mereka bekerja 24 jam tanpa gaji tetap demi memastikan syurga rumahtangga terjaga. Hargailah mereka seadanya.

Akhir kata daripada Che Kak.

Mulakan hari bekerja kita dengan niat yang betul. Biar penat di dunia, asalkan rezeki yang dibawa pulang itu berkat dan diredaiNya.

Selamat bekerja dengan ikhlas!


No comments:

ads
Powered by Blogger.