Catatan Ramadan: Tenang Dan Damai Berpuasa Di Kedah Darul Aman

Hari ini (19.02.2026), rezeki kami sekeluarga dapat merasai pengalaman bersahur dan berbuka puasa di Kedah Darul Aman. Sebagaimana namanya, begitulah rasa tenang dan damai suasana persekitaran di sini. Alang-alang sedang bercuti, che kak ambil peluang ini untuk membawa anak-anak dan anak saudara berjalan-jalan melihat tempat orang.

Sambil berjalan, kami sempat singgah membeli baju raya di sini. Walhal kalau diikutkan, di Kelantan pun boleh sahaja beli. Namun, sekali-sekala mahu juga merasai vibe membeli-belah di luar negeri untuk dijadikan kenangan buat anak-anak. Paling penting, bolehlah dijadikan modal untuk menulis dan mengemaskini blog serta "muka buku" (Facebook) che kak yang dah lama segan hidup ini.

Pilihan Ibu Bapa vs Pilihan Anak

Bab mencari baju raya anak-anak, semuanya diuruskan oleh suami. Che kak pula lebih suka fokus mencari biskut raya yang ditempah dengan kawan-kawan. Bagi che kak, lebih baik biarkan anak-anak memilih sendiri baju raya yang mereka berkenan. Kalau kita sebagai ibu bapa yang tolong pilihkan, bimbang nanti baju itu tersimpan di dalam almari dan "jadi sarang tebuan" pula kerana mereka tidak mahu pakai.

Kita sebagai ibu bapa sekarang perlu ikut peredaran zaman. Bukan semua perkara kita boleh gunakan kuasa veto. Selagi pilihan mereka tidak bercanggah dengan agama, aspek keselamatan dan peraturan, apa salahnya kita hargai perasaan serta keinginan anak-anak, kan?

Bazar Ramadan Kedah

Jam 6.00 petang, kami bergerak ke bazar Ramadan berdekatan. Keadaan di sini agak berbeza kerana peniaganya tidaklah seramai atau semeriah di Kelantan. Kami pergi pun sekadar mahu melihat suasana tempat orang untuk dijadikan bahan catatan.

Sepanjang berpusing-pusing di bazar, che kak perasan ramai orang beratur panjang di sebuah gerai murtabak. Detik hati che kak, "Mesti murtabak dekat gerai ni sedap sangat." Ada juga gerai murtabak lain yang agak lengang, jadi che kak sempatlah menjenguk cara mereka memasak dan melihat bahan-bahan yang digunakan. Namun, bila nampak intinya macam lebih banyak bawang daripada daging, terus che kak tak berkenan. Satu lagi perkara yang che kak perasan, bazar di sini kurang menjual kuih-muih berwarna-warni yang biasanya memikat mata sebagai juadah hiasan meja.

Penangan Air Tangan Mak Airaa

Tepat jam 7.32 malam, barulah kedengaran bunyi azan berkumandang. Apa lagi, kami pun cepat-cepat membaca doa berbuka puasa dan doa makan. Juadah berbuka kami malam ini cukup istimewa. Lauk gulai ikan bawal malam ini memang sangat sedap! Anak-anak pula bukan main berselera lagi makan ayam pedas dan ayam masak Korea yang ditabur bijan. Hasilnya, licin seperiuk nasi dikerjakan! Memang hebat penangan masakan air tangan Mak Airaa malam ini.

Sekian sahaja cerita singgah puasa kami untuk hari ini. Esok, masanya untuk kami bertolak pulang semula ke Kelantan.

 








No comments:

ads
Powered by Blogger.