Best Ke Bercuti Di Kedah
Hai hampa! Jumpa lagi dalam sambunan travelog
percutian Che Kak di negeri jelapang padi. Masuk hari kedua ni, jadual kami
makin padat dengan pelbagai ragam, plot twist dan semestinya aktiviti
makan-makan.
Jom layan cerita hari kedua kami!
Sarapan
"Misteri" Di Pokok Sena: Roti Dah Hadam, Air Tak Sampai!
Pagi-pagi lagi kami ke kedai roti canai terbang yang agak popular di Pokok Sena. Saja nak bagi anak-anak tengok tebar roti melayang. Che kak order roti pisang campur telur. Walaupun tak ada dalam senarai menu, nasib baik abang penebar roti layankan je.
Tapi, ada satu benda hairan bin ajaib berlaku. Tunggu punya tunggu, roti pisang telur dah selamat selamat masuk perut, malah dah siap dihancurkan oleh enzim pepsin (enzim utama perut kita ya!), tapi air yang dipesan tak kunjung tiba. Takkanlah nak buat Teh O Beng dengan Sky Juice (air kosong) pun ambil masa lama sangat? Sudahnya, Che Kak terpaksa bangun pergi tanya sendiri dekat kaunter. Barulah airnya sampai. Haduh, dugaan pagi hari!
Mandi-Manda
Di Pendang Waterfront (Tiket RM3 Je!)
Selesai sarapan, kami terus bertolak ke Pendang Waterfront. Saja bawa anak-anak ke sini sebab masing-masing dah bising nak mandi kolam. Che kak pun sebenarnya dah siap pasang niat nak berendam sekali.
Selesai bayar tiket, murah sangat hampa, RM3.00 sahaja seorang. Kami pun masuk. Sekali tengok, kolamnya comel sangat dan memang dibina khas sesuai untuk budak-budak sahaja. Maka, Che kak terpaksalah melupakan hasrat murni nak berendam bersama tu. Tak mengapalah, asalkan anak-anak bahagia dapat cipta kenangan sesama mereka. Tiket mungkin murah, tapi memori yang tercipta tu sangat mahal harganya.
Penangan
Mi Sup Viral Pakai Sistem Nombor QMS
Dah puas mandi-manda, perut masing-masing pun
dah mula berkeroncong. Kami singgah di sebuah kedai mi sup yang tengah viral
dekat media sosial.
Sampai-sampai je, che kak terkejut tengok sistem diorang. Kedai makan tapi kena ambil nombor giliran guna Sistem Pengurusan Giliran (QMS), sebiji macam dekat klinik kesihatan! Masa nombor kita dipanggil tu, tiba-tiba rasa segan dan malu pula menjelma. Yang Tahu Je Tahu (YTJT) lah ya macam mana perasaannya, haha!
Walaupun kedai ni viral, jujurnya che kak tak berapa teruja. Rasanya biasa-biasa saja dan mi sup tu kurang kena dengan selera che kak. Mungkin juga sebab che kak dah minum banyak sangat air kosong sebelum tu saking dahaganya. Jadi perut dah penuh air duluan.
Santai
Petang: Wayang Hantu & Menu Kampung Penutup Hari
Balik je rumah, plan asal nak layan movie hantu beramai-ramai. Tapi rezeki hantu pulak yang tengok che kak tidur nyenyak! Faktor usia begini, dapat tidur petang memang satu nikmat yang tak terkata.
Lagipun zaman sekarang ni untung, kita boleh tengok movie bila-bila masa sahaja secara online. Kalau zaman dulu, kena tunggu tayangan TV. Kalau terlepas, jawapannya kenalah tunggu tahun depan masa raya baru ada ulangan!
Bangun-bangun tidur, perut lapar semula. Mujur ada Sup Ayam Pencen digandingkan pula dengan Sambal Bilis Pedas. Pergh, kombinasi killer ni memang wajib buat nasi bertambah-tambah! Diet tolak tepi dulu.
Selamat
Menyambut Bulan Puasa!
Okeylah hampa, sekian saja cerita percutian hari kedua che kak semalam. Alang-alang dah nak masuk bulan Ramadan ni, che kak nak ucapkan Selamat Menyambut Bulan Puasa kepada semua pembaca blog ini.
Jangan lupa bangun sahur untuk dapatkan
keberkatan dan beringat-ingatlah masa berbuka nanti ya. Makan sekadar sahaja,
jangan membazir!













No comments: