Tazkirah Bulanan: Akhlak Menyempurnakan Diri, Korban Menyuci Hati

Tarikh (25.05.2025) hari ini cantik, secantik perjalanan hari Che Kak. Alang-alang hari kerja yang tenang, Che Kak nak tinggalkan sedikit catatan di mukabuku, buat tatapan diri dan sahabat semua.

Pagi tadi dimulakan dengan penuh barakah melalui solat hajat dan bacaan Yasin. Walaupun tak cam suara jejaka mana yang mengimamkan, moga doa kita semua diangkat Allah SWT.


Sementara menanti ketibaan ustaz, kami sarapan nasi gulai ayam dan ikan, ikan kering sangat sedap krup krap, sambal pedas bak hang, acar timun, puding, kek pisang dan air sirap terlebih gula. Kalau lewat makan takut gastrik pula.

Pengisian utama hari ini sangat mendalam, disampaikan oleh Ustaz dari Pejabat Agama:

👉 "Akhlak Menyempurnakan Diri, Korban Menyuci Hati"

Antara intipati yang boleh kita bawa pulang dan rasi dalam kehidupan:

* Sempurnakan Akhlak: Hubungan dengan Allah dijaga (habluminallah), hubungan dengan manusia (habluminannas) juga perlu disantuni. Akhlak yang baik adalah cerminan iman yang sempurna.

* Erti Pengorbanan: Korban bukan sekadar haiwan sembelihan, tetapi bagaimana kita mengorbankan ego, masa dan nafsu demi membersihkan sekeping hati. Hati yang suci melahirkan tindakan yang murni.

(Nota tepi: Waktu dengar tazkirah ni, Che Kak rasa macam hanyut sampai ke lautan Filipina! Penangan sirap terlebih gula waktu sarapan tadi, nasib baik lepas tu ada kopi Lotus penyelamat keadaan 🤪)

Kesedaran & Tanggungjawab

Selepas sesi kerohanian, kami disambung pula dengan ceramah Akta Anti Gangguan Seksual dari Jabatan Pembangunan Wanita. Satu pengisian yang sangat penting untuk kita tahu hak, batas dan cara melindungi diri serta persekitaran tempat kerja agar sentiasa selamat dan harmoni.



Rezeki dan 'Me Time' 

Waktu rehat, apa lagi? Che Kak ajak jiran bilik sebelah pi cuci mata dekat Lotus. Alhamdulillah, rezeki hari ini dapat juga rembat minyak masak 3 peket! Sejak pindah tempat kerja baru ni, payah juga nak beli.

Lepas tu singgah beli nasi lemak depan kedai roti Harold. Memang padu! Nasinya cukup lemak, sambalnya pedas ngam-ngam, tak manis potong kaki. Puas hati makan.

Amanah Baru

Petang sikit, sambung fokus pada tugasan ISO. Baru dapat surat lantikan, maka kena la 'study' semula. Bila kita buat kerja yang kita suka, masa tu berjalan laju sangat.

Tapi Che Kak tetap balik tepat pada waktu. Kerja boleh sambung esok. Keutamaan tetap pada keluarga. Lagipun, kita kena bertimbang rasa dengan cikgu transit anak-anak yang juga nak balik ke rumah masing-masing.

Sebelum sampai rumah, sempat singgah PKT Mulong jap beli selipar anak yang misteri kehilangannya. 👣

Sekian cerita suka-suka untuk hari ini. 

No comments:

ads
Powered by Blogger.