Cabaran Petugas di Pusat Pemindahan Sementara
Alhamdulillah, bilik gerakan bencana banjir akhirnya ditutup secara rasmi petang ini. (27.11.2025)
Vest oren pun dah boleh di basuh bersih dan akan berbau wangi kembali.
Namun, di sebalik kelegaan itu, ada satu rasa
yang sukar diungkapkan. Sejujurnya, bertugas di Pusat Pemindahan Sementara
(PPS) amat meletihkan bukan sahaja raga, malah jiwa.
Pengorbanan Yang Ramai Tak Nampak
Ramai yang melihat petugas PPS sekadar menguruskan pendaftaran dan mengagihkan makanan. Hakikatnya, pengorbanan yang orang tak Nampak:
Meninggalkan
Keluarga: Berhari-hari terpaksa berjauhan dengan insan tersayang
demi tugas negara.
Taruhan
Keselamatan: Pulang lewat tengah malam dalam hujan lebat
yang mencurah-curah. Jalan gelap, air banjir, hati kecut menahan takut sambil
zikir tidak putus di bibir.
Tanggungjawab
Mutlak: Walau penat, arahan agensi dalam Arahan NADMA No 1 tetap
wajib dipatuhi demi keselamatan mangsa.
Mujur
Ada Rakan Setugas Yang 'Steady'
Satu perkara yang paling disyukuri adalah
dikurniakan rakan setugas yang sangat mantap. Masing-masing mengamalkan budaya work smart dan sentiasa tenang mengawal situasi.
Tahun ini juga mencatatkan pengalaman pertama che kak menggunakan aplikasi MyIBJKM. Sejujurnya, aplikasi ini sangat membantu! Data semua mangsa bencana kini dikumpulkan dalam sistem digital secara lebih sistematik dan sentiasa dikemas kini. Walaupun masih ada ruang kekurangan, ia adalah satu langkah transformasi digital yang sangat baik untuk ditambah baik pada masa hadapan.
"Kami Dah Lali Dimarahi..."
Dalam pengurusan bencana banjir, semua pihak harus bergandingan bahu. Kita perlu tahu peranan masing-masing dan yang paling penting, tak perlu menuding jari. Jangan sesekali ada rasa diri "paling penat" atau "paling banyak buat kerja", walaupun tugas ini dilakukan secara sukarela tanpa sebarang gaji.
Satu perkara yang masyarakat perlu faham adalah isu penyaluran bantuan:
Pentingnya
Koordinasi: Terima kasih kepada semua penyumbang. Namun,
sebaik-baiknya hubungi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) terlebih dahulu
sebelum menghantar sumbangan ke PPS.
Elak
Pembaziran: Koordinasi ini penting bagi mengelakkan
lambakan barang keperluan yang akhirnya terbazir begitu sahaja.
Menjadi Benteng Rungutan: Kadang-kadang, kamilah yang terpaksa berhadapan dengan herdikan dan rungutan mangsa jika sumbangan tidak mencukupi.
Jujur, kami sudah lali dimarahi. Walaupun muka terpaksa manis, hati kami sebenarnya sangat sedih kerana tidak ramai yang benar-benar peduli dengan kekangan yang kami hadapi.
Muhasabah Bersama
Banjir bukan sekadar ujian bencana, ia adalah
ujian kemanusiaan dan kesabaran. Semoga kita semua dapat bermuhasabah dan
mengambil hikmah yang tersirat daripada bencana yang melanda ini. Terima kasih
kepada semua yang terus menyokong kami di sebalik tabir!
*Nota: Pandangan dan penulisan di dalam artikel ini adalah hak milik dan pendapat peribadi penulis sepenuhnya serta tidak mewakili dasar atau pandangan rasmi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
































No comments: