Kenapa Ibu Bapa Perlu Hargai Anak dan Menantu
Ada ni haaa... baru lepas cuci bilik air guna pencuci tandas Ganso bunga ros. Wangi betul baunya!
Banyok hari doh tok nulis untuk tatapan muka buku dan blog ni sebab sibuk ntah hapa-hapa. Lagipun, nok nulis ni keno ado gabungan yang mantap: rajin, idea, semangat dan masa. Ada idea tapi malas, tak jadi juga. Rajin tapi takde idea, pun jadi sia-sia.
Sempena musim cuti sekolah dan perayaan ni, pastilah ramai anak-anak tengah rancang atau dah pun balik kampung jumpa ibu bapa. Jadi, sementara ada idea dan semangat ni, che kak nak kongsi sikit pesanan deep untuk kita yang bergelar ibu bapa atau orang tua.
Hargailah anak menantu yang balik kampung jumpa kita. Kenapa? Ini sebabnya:
1.
Korban 'Jem Nenas & Strawberi' Bukan Benda Main
Kesian kat anak cucu menantu yang berkorban wang ringgit, tenaga dan masa. Nak menghadap jalan raya waktu cuti ni, pening kepala! Masing-masing meredah jem nenas, blueberri, strawberri (kesesakan trafik) sambil berbekalkan roti kaya dalam kereta buat alas perut.
Mereka gagahkan juga demi nak tengok muka kita di kampung. Jadi, janganlah kita 'bias-biaskan' layanan mengikut darjat, pangkat dan jenis kereta yang parking di depan tangga rumah.
2.
Terima Hadiah Tanpa 'Subtitle' di Muka
Kalau anak menantu bagi hadiah, terimalah dengan tangan terbuka dan senyuman ikhlas. Tak payah nak ada subtitle atau mimik muka yang tak berkenan. Jangan dibanding-bandingkan sebab ada menantu lain yang lagi kaya bagi hadiah lagi mahal harganya.
Ingat, nilai kasih sayang anak menantu bukan setakat diukur dengan duit seratus dua. Kehadiran mereka itu sendiri dah satu rahmat.
3.
Jaga Air Muka, Kurangkan Teguran 'Makan Garam'
Jangan ditegur menantu serba tak kena. Ada jenis orang tua yang suka acah-acah hebat: "Kamu apa tahu, mak ni dah makan garam dulu..." Tapi sayang, penyakit darah tinggi tak turun-turun, kencing manis pun terlebih gula!
Jagalah air muka dan hati menantu. Mereka juga ada ibu bapa sendiri, bukannya keluar dari perdu buluh sampai kita rasa suka hati mulut kita nak kata apa sahaja.
4.
Anak Muda Sekarang Tak Main Drama 'Tivi Tiga'
Tak payahlah kita nak acah-acah berdrama ala-ala slot petang TV3. Anak menantu zaman sekarang ni dah bijak. Mereka dah pandai jaga hati sendiri sebelum sakit hati tu melarat jadi sakit jiwa. Kalau mereka rasa toksik, mereka akan mula jarakkan diri.
5.
Masa Depan Kita?
Ingatlah wahai ibu bapa, kita tidak selamanya sihat dan muda. Roda kehidupan sentiasa berputar. Kita tak tahu anak menantu yang mana satu yang akan basuh berak kencing kita apabila tiba masanya nanti. Masa kita terlantar sakit, waktu itulah baru nampak siapa yang betul-betul ikhlas.
Kesimpulan
Kalau menantu dah mula merajuk dan tak nak
balik lagi, itu bukan sebab mereka kecil hati sehari dua. Itu tandanya hati
mereka dah retak menunggu masa untuk pecah sahaja. Sebelum nasi menjadi bubur,
jom kita jadi ibu bapa dan mentua yang disenangi. Hargai setiap langkah mereka
yang pulang ke rumah kita.



No comments: