Kemas Peti Ais Jadi Terapi Minda? Ini 5 Tips Versi Che Kak
Bagi orang perempuan, dapur ini ibarat ‘kawasan jajahan’ kita. Setuju tak? Che Kak sebenarnya taklah pandai sangat bab hiasan atau deko rumah ni. Tapi, ada satu perasaan puas yang tak boleh diungkap dengan kata-kata setiap kali buka peti ais, tengok semuanya bersih, kemas dan tersusun elok ikut standard Che Kak sendiri. 🤣
Tahu tak, bagi Che Kak, membersihkan peti ais ini bukan sekadar kerja rumah biasa. Ia dah jadi satu bentuk terapi diri. Bila tengok ruang dalam peti ais lapang dan teratur, rasa tenang dan lega sangat. Seolah-olah segala energi negatif dan stres yang melekat sepanjang minggu itu hilang begitu saja dibawa angin sejuk peti ais.
Sebab itulah Che Kak sanggup melabur sedikit modal untuk beli bekas-bekas makanan yang estetik dan cantik. Semata-mata nak bagi peti ais nampak seragam, teratur dan sedap mata memandang.
Nak tahu macam mana Che Kak kekalkan momentum "peti ais estetik" ni?
Ini 5 tips mudah versi Che Kak yang korang boleh tiru:
1. Buang Makanan 'Purba' & Expired
Langkah pertama, sila belek dan buang semua makanan atau minuman yang dah lepas tarikh luput (expired) atau sayur yang dah mula layu dan tak segar. Jangan sayang nak buang kalau dah tak boleh makan.
2. Gunakan Bekas Estetik & Seragam
Jangan biarkan barang dalam plastik pasar. Susun makanan dalam bekas bertutup yang sesuai (kalau boleh yang lutsinar). Selain nampak cantik, ia sangat membantu sebab kita mudah nampak dan mudah capai barang yang kita nak guna.
3. Hentikan Mitos "Duk Dalam Peti Takpa"
Ini penyakit biasa kita, kan? Suka simpan barang bertahun-tahun dengan alasan “tak apa, letak dalam peti ais lambat rosak”. Hakikatnya, makanan ada tempoh kesegaran walaupun dibekukan. Lepas ni, jom kita kikis tabiat simpan barang lama-lama.
4. Buat 'Mini Check' Mingguan
Tak perlu tunggu sebulan sekali untuk mengemas. Che Kak suka buat pemeriksaan setiap hujung minggu sebelum beli barang dapur baru. Cepat je proses ni, tapi sangat membantu untuk kekalkan kebersihan peti ais dalam jangka masa panjang.
5. Lap Serta-Merta Jika Tumpah
Jangan tangguh! Setiap kali ada kuah tumpah atau air manis menitik, terus ambik kain dan lap. Kalau dibiarkan, kesan tumpahan itu akan jadi melekit, sukar dicuci dan boleh menyebabkan peti ais kita berbau kurang enak.
Apabila peti ais kemas, kita pun rasa lega. Betullah orang kata, kemas itu terapi! Korang pula macam mana? Ada tips tambahan tak yang selalu korang buat untuk peti ais rumah korang? Kongsikan di ruangan komen di bawah ya!
.



No comments: