Catatan Di Sebalik Kaunter: Membuka Tirai 2026 Dengan Syukur dan Sabar

Selamat Tahun Baru 2026!

Sedar tidak sedar, kita sudah melangkah ke tahun baharu. Bagi che kak, tirai tahun ini dibuka dengan tugasan biasa di kaunter pada waktu pagi. Sebagai petugas barisan hadapan, memulakan hari pertama tahun baharu di tempat kerja menuntut satu persediaan mental yang kuat.

Alhamdulillah, urusan hari ini dipermudahkan Tuhan tanpa sebarang drama. Bagi seorang petugas kaunter, itulah kepuasan yang paling besar. Apabila hari berakhir dengan lancar, rasa lega yang sukar diungkapkan..


Emosi Perlu Stabil

Menjaga kaunter bermakna kita berhadapan dengan pelbagai ragam manusia. Kunci utama yang sentiasa che kak ingatkan pada diri sendiri ialah jangan beremosi. Prinsip kerja che kak mudah dan ringkas:

* Orang bertanya: Kita jawab dengan baik.

* Perlu borang: Kita beri dengan senyuman.

* Hantar borang: Kita semak dengan teliti.

Apabila kita mudahkan urusan orang lain, insya Allah urusan kita juga akan mengalir lancar.

Kaunter Tempat Belajar Erti Kehidupan

Mendengar dan menyaksikan sendiri pelbagai kisah masyarakat yang datang silih berganti setiap hari sebenarnya adalah satu proses kehidupan. Ia melatih hati che kak untuk sentiasa rasa bersyukur dengan rezeki yang ada.

Kadang-kadang, kita terlalu sibuk melihat apa yang kita tiada. Kita asyik membandingkan hidup kita dengan orang yang kononnya lebih bernasib baik, lebih kaya atau lebih berjaya.

Hakikatnya, apabila mata kita sentiasa memandang ke atas, kita akan mudah lupa untuk bersyukur dengan apa yang sedang kita genggam hari ini. Sentiasa tanamkan rasa cukup dalam diri. Cukup itu menenangkan.


Memilih Untuk Mengalah Bukan Bererti Kalah

Satu lagi pengajaran besar yang che kak pegang ialah cara berhadapan dengan manusia yang sentiasa mahu menang. Nasihat che kak, tinggalkanlah.

Tiada guna kita menghabiskan tenaga untuk berdebat dengan orang yang egonya setinggi langit. Dalam perdebatan yang dipandu emosi, menang akhirnya akan tetap menjadi abu dan kalah pula menjadi arang. Tiada siapa yang untung.

Doa Untuk Hari-Hari Mendatang

Ya Allah, semoga hari-hari mendatang, urusan dunia dan akhirat kami semua senantiasa dipermudahkan serta diberkati-Mu. Amin.

Kepada rakan-rakan yang juga bertugas di kaunter atau di barisan hadapan, selamat menjalankan tugas dengan penuh dedikasi. Mari kita jaga niat dan jaga hati.

 

No comments:

ads
Powered by Blogger.