Dalam Diam, Anak Menelan Luka: Realiti Kasih Sayang Dalam Keluarga
Pernahkah kita terfikir bahawa dalam sebuah keluarga, setiap anak membawa rezeki dan kemampuan yang berbeza? Ada anak-anak yang dimurahkan rezeki untuk mewahkan ibu bapa mereka dengan wang ringgit, menaja percutian yang indah atau membawa makan di restoran kegemaran.
Melihat senyuman yang tidak lekang di bibir
ibu bapa menyambut kepulangan anak kesayangan semestinya satu pemandangan yang
membahagiakan. Namun, di sebalik tirai kebahagiaan itu, ada satu realiti yang
jarang sekali dibicarakan.
Rezeki
yang Berbeza, Pengorbanan yang Sama
Tidak semua anak dikurniakan rezeki kewangan
yang melimpah-ruah. Ada yang pendapatannya sekadar cukup makan, menjadikan
mereka tidak mampu untuk memanjakan ibu bapa dengan barangan berharga. Bagaimanapun,
kekurangan itu tidak menghalang mereka untuk berbakti. Mereka tetap berusaha
menyantuni ibu bapa dengan cara tersendiri, Ada yang membantu membayar bil utiliti,
membaiki kerosakan rumah, menguruskan keperluan harian atau menyumbang tenaga
dan kudrat yang ada. Bagi mereka, itulah bentuk kasih sayang tertinggi yang
mampu diberikan.
Sindrom
"Anak Depan Mata" dan Bias dalam Keluarga
Malangnya, tidak semua pengorbanan ini
difahami atau dihargai. Tanpa sedar, wujud kelakuan pilih kasih atau bias dalam
hubungan kekeluargaan.Anak yang tinggal berdekatan yang sentiasa ada untuk
membantu setiap kali diperlukan selalunya kurang dihargai. Kehadiran mereka
dianggap sebagai satu perkara biasa (taken for granted).
Sebaliknya, anak yang sekali-sekala pulang
adakalanya disambut dengan penuh keraian, manakala anak yang setiasa di sisi
menerima layanan yang hambar atau sindiran tajam yang mengguris perasaan.
Memilih
Diam Demi Menjaga Adab
Hakikatnya, anak juga manusia biasa. Mereka
mempunyai hati, boleh berkecil hati, tawar hati dan mengalami keletihan emosi
yang teramat sangat. Sindiran yang mungkin dianggap gurauan atau perkara biasa
oleh ibu bapa, sebenarnya boleh menjadi luka dalam yang dipendam
bertahun-tahun. Namun, mengapa mereka memilih untuk terus membisu? Kebanyakan
anak memilih untuk diam semata-mata demi menjaga adab terhadap orang tua.
Mereka takut perkataan yang keluar daripada mulut akan dicap sebagai anak
derhaka. Mereka mengelap air mata dalam diam, meneruskan khidmat dengan hati
yang sarat dengan luka.
Ketepikan
Ego, Hargai Setiap Pemberian
Sebagai ibu bapa, tidak rugi untuk kita cuba
memahami isi hati anak-anak dengan mengetepikan ego sendiri. Ingatlah bahawa
kemuliaan layanan seorang anak tidak sepatutnya diukur dengan nilai material
semata-mana. Ada yang memuliakan dengan harta, dan ada yang memuliakan dengan
tenaga, perhatian serta kesabaran. Kedua-duanya adalah manifestasi kasih sayang
yang suci. Hargailah setiap bentuk pengorbanan anak, walaupun ia kelihatan
kecil pada pandangan mata kita.
Pesanan
Buat Seorang Anak
Buat anak-anak yang sedang melaluinya,
teruskanlah berbuat baik selagi mampu. Elakkan daripada membandingkan nilai
diri anda dengan adik-beradik yang lain. Percayalah, sumbangan tenaga dan masa
anda juga mempunyai nilai yang sangat besar di sisiNya. Pada akhirnya, apa yang
paling diperlukan dalam sebuah keluarga bukanlah kemewahan material semata-mata
tetapi rasa dihargai, difahami dan disayangi seadanya. Letakkanlah kasih sayang
mengatasi material, agar tiada lagi anak yang terpaksa menelan luka dalam diam.



No comments: