5 Cabaran Utama Penjaga Pesakit Terlantar
Sebagai seorang 'kerani JKM', che kak sering kali mendengar dan melihat sendiri realiti kehidupan para penjaga pesakit terlantar (bedridden).
Tadi, che kak terbaca satu luahan di Facebook mengenai permohonan bantuan seorang penjaga yang ditolak atas alasan pesakit perlu menunggu 6 bulan terlebih dahulu.
Jujurnya, che kak terkejut beruk. Setahu che kak, sejak skim bantuan ini ditambah baik dari masa ke semasa sejak tahun 2008, tiada syarat seketat itu. Isu sebegini perlu disiasat segera kerana ia mungkin berpunca daripada salah faham komunikasi antara pemohon dan agensi terlibat.
Menjaga pesakit terlantar bukanlah tugas yang mudah. Ia menuntut pengorbanan yang besar dari sudut fizikal, emosi, mental dan kewangan.
![]() |
| Pesakit terlantar |
5 Cabaran Utama Penjaga Pesakit Terlantar
1. Kepenatan Fizikal yang Kronik
Tugas mengangkat, memandikan, menukar lampin dan memindahkan pesakit dari katil ke kerusi roda memerlukan kudrat yang sangat tinggi. Kesannya, ramai penjaga mengalami sakit belakang (slip disc) dan keletihan melampau.
2. Tekanan Emosi & Mental
Penjagaan yang memakan masa berbulan-bulan atau bertahun-tahun tanpa henti boleh mencetuskan stres dan kemurungan. Salah satunya terpaksa hadap perubahan emosi pesakit yang kadangkala merajuk, marah atau kecewa dengan keadaan diri mereka.
3. Kekurangan Masa Rehat & Privasi
Pesakit terlantar memerlukan pemantauan sepanjang masa termasuk di tengah malam. Akibatnya, penjaga sukar mendapat tidur yang cukup dan terpaksa mengorbankan kerjaya serta kehidupan sosial sendiri.
4. Risiko Komplikasi Kesihatan Pesakit
Penjaga memikul tanggungjawab besar untuk memastikan pesakit tidak mendapat komplikasi tambahan seperti luka baring (bed sores), jangkitan paru-paru, atau sendi menjadi keras (contractures) akibat terlalu lama tidak bergerak.
5. Beban Kewangan yang Tinggi
Kos membeli lampin pakai buang, susu khas melalui tiub, ubat-ubatan serta peralatan hospital (seperti katil khas dan tilam ripple) amat membebankan, terutamanya bagi keluarga miskin.
Di Mana Penjaga Boleh Mendapatkan Sokongan?
Jangan memikul beban ini sendirian. Terdapat beberapa saluran bantuan yang boleh dimanfaatkan:
* Bantuan Kewangan & Peralatan:
Keluarga yang layak boleh memohon Bantuan Penjagaan Pesakit Kronik/OKU Terlantar daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan atau pihak Baitulmal juga ada menyediakan bantuan serta pinjaman peralatan perubatan secara percuma.
* Pendidikan Penjagaan Khusus Untuk Penjaga:
Penjaga digalakkan menyertai kursus asas penjagaan yang dianjurkan oleh klinik, hospital atau badan sukarelawan. St. John Ambulance pula sering melakukan lawatan ke rumah (home visit) untuk mengajar teknik penjagaan yang betul.
* Sokongan Sistem Keluarga:
Ahli keluarga wajib bertolak ansur dan bergilir-gilir menjaga pesakit. Agak ralat apabila ada segelintir ahli keluarga yang melepaskan terus tanggungjawab kepada seorang individu (terutamanya suri rumah) atas alasan mereka "tidak bekerja".
Sebuah Cerpen Dedikasi: Yang Menjaga Dihina, Yang Menjenguk Dipuja
Untuk menghargai pengorbanan luar biasa klien-klien che kak dan seluruh penjaga di luar sana, che kak tulis sebuah cerpen ringkas ini. Kisah ini diolah daripada realiti sebenar demi menjaga privasi individu terlibat.
Sinopsis Cerpen:
Kisah mengisahkan tentang Zu, seorang suri rumah yang menguruskan bapa mentuanya yang terlantar dengan penuh sabar di samping membesarkan anak kecil dan menjenguk adik-adiknya yang kehilangan ibu. Di rumah itu, Zu sering menjadi sasaran rungutan bapa mentuanya yang menganggap khidmat Zu sentiasa tidak sempurna. Suaminya, Azlan pula lepas tangan atas alasan sibuk bekerja mencari nafkah.
Konflik emosi memuncak apabila adik-beradik suaminya pulang menjenguk. Mereka datang dengan tangan kosong, dilayan seperti raja dan keluar berseronok tanpa memikirkan kepenatan Zu yang ditinggalkan di rumah untuk mengurus hal ehwal rumah.
Di mata si bapa, anak-anak yang jarang pulang itulah yang dipuja manakala Zu yang setia membasuh najisnya setiap hari terus dihina dan dilupakan. Namun, di sebalik titisan air mata, Zu memilih untuk bertahan kerana dia percaya, setiap pengorbanan yang tidak dipuji manusia tetap mekar bernilai di sisi Tuhan.
Klik Cerpen untuk membaca cerpen penuh: Yang Menjaga Dihina, Yang Menjenguk Dipuja
Bagaimana pula dengan pengalaman anda? Pernahkah anda berdepan dengan situasi sukar sebegini dalam menguruskan ahli keluarga yang sakit? Jom kongsi di ruangan komen.
*Nota: Pandangan dan penulisan di dalam artikel ini adalah hak milik dan pendapat peribadi penulis sepenuhnya serta tidak mewakili dasar atau pandangan rasmi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).



No comments: