Cara Perbaiki Bacaan Solat: Kenapa Kita Tak Boleh Malu Sertai Program Tahsin Al-Fatihah

Hari ini, rasa bertuah kerana berpeluang menghadiri program Tahsin Al-Fatihah dan solat di tempat kerja. Walaupun bertugas di kaunter, alhamdulillah ada rakan sekerja yang sudi tolong cover sekejap.

Sebelum ini rasa bacaan Al-Fatihah  sudah bagus. Mentang-mentang asas mengaji sejak kecil lagi.  Masih ingat lagi memori lama. Pulang mengaji malam-malam bersuluhkan cahaya api daripada pelepah kelapa kering yang dijalin kemas.

Berjalan kaki beramai-ramai dengan kawan sekampung. Kadang-kadang, terpaksa pulang sendirian. Bestnya, waktu itu langsung tidak ada rasa takut.

Che kak sendiri pernah belajar di sekolah arab selama 6 tahun. Kononnya rasa pandai la kot. 

Ditambah pula suami yang sangat menitikberatkan perihal solat. Tetapi itulah, nak belajar Al-Fatihah dengan suami sendiri memang mencabar. Mudah tersentap dan merajuk kalau tertinggi suara.  Akhirnya, niat nak betulkan bacaan terkubur bersama. 😆

Apabila program tahsin seperti ini dianjurkan di tempat kerja, masih ada ruang teguran dan penambahbaikan pada bacaan sendiri. Usia dan pengalaman bukan tiket untuk kita merasa sudah sempurna.


Jika mahu mengharapkan diri sendiri ke majlis ilmu di luar, susah sikit sebab komitmen kerja dan keluarga sekarang. Jadi, peluang keemasan ini gunakan sebaiknya.

Belajar agama terutamanya bab solat, kita tidak boleh ada rasa malu. Sesungguhnya ilmu Allah itu sangat luas. Benarlah, ilmu agama tidak akan pernah habis sehinggakan jika air laut di dunia ini menjadi dakwat sekalipun ia masih tidak cukup untuk menulis ilmuNya.

Semoga perkongsian ringkas ini memberi inspirasi untuk kita terus memperbaiki diri tanpa mengira usia.





No comments:

ads
Powered by Blogger.