Review Filem The Sand Castle: Plot Twist Paling Meruntun Jiwa & Air Mata

Semalam sempat layan filem The Sand Castle. Jujurnya, dari awal tengok rasa biasa-biasa je. Sekali bila sampai kat ending, Allahu... memang meruntun jiwa sangat! Sedih dia sampai terbawa ke hari ini.

Filem ini mengisahkan sebuah keluarga pelarian Arab Nabil, Yasmine, Adam dan Jana yang tiba di sebuah pulau terpencil dan gersang di Laut Mediterranean. Mereka menumpang teduh di sebuah rumah api usang. Bagi si kecil Jana, pulau itu bagaikan "syurga" tempat dia bermain pasir dengan gembira.


Di saat ibu bapa mereka cuba bertahan hidup dengan mencatu bekalan makanan yang sangat terhad sementara menunggu bantuan, suasana harmoni itu perlahan-lahan bertukar menjadi sebuah psychological thriller. 

Radio usang mereka mula menangkap siaran tentang puluhan pelarian yang mati lemas di lautan luas.

Plot Twist: "Syurga" Yang Tidak Pernah Wujud

Apabila sampai penghujung cerita, terbongkar satu rahsia yang sangat tragis. Pulau, rumah api malah kehidupan keluarga yang selamat tu sebenarnya TIDAK WUJUD langsung! Semuanya cuma khayalan dan mekanisma pertahanan diri dalam minda si kecil Jana.

Realitinya, setiap ahli keluarga tewas satu demi satu dalam pelayaran berdarah tersebut.

* Si Bapa (Nabil): Mengalami kecederaan fizikal yang teruk pada kaki dan tubuhnya, lalu meninggal dunia di dalam rumah api (simbolik kepada kecederaan sebenar yang meragut nyawanya di atas bot).

* Si Ibu (Yasmine): Terdengar suara halus Jana memanggilnya meminta tolong dari arah lautan luas. Tanpa berfikir panjang, si ibu berlari masuk ke dalam laut untuk menyelamatkan "Jana" lalu ditelan ombak besar (simbolik naluri keibuan yang cuba menyelamatkan anaknya sehingga lemas).

* Abang (Adam): Mengambil tanggungjawab menjaga Jana, membaiki rumah api dan nekad berenang ke tengah laut demi mendapatkan pertolongan apabila terpandang sebuah bot di garisan ufuk. Dia langsung tidak kembali (melambangkan usaha terakhir si abang yang cuba bertarung nyawa menyelamatkan keluarga, namun akhirnya tewas).

Misteri Kasut Merah & Yara

Melalui imbasan semula (flashback) di akhir filem, penonton dikejutkan dengan fakta bahawa Jana sebenarnya mempunyai seorang lagi adik perempuan bernama Yara. Yara tidak muncul di pulau khayalan tersebut kerana dia telah mati lebih awal di tanah air mereka akibat serangan bom di sekolah.

Sepanjang filem, Jana sering taksub dengan sepasang kasut merah di pulau tersebut. Di akhir cerita, penonton ditunjukkan visual sebenar. Kasut merah itu sebenarnya masih melekat pada kaki mayat adiknya, Yara, di bawah runtuhan bangunan.

Apabila semua ahli keluarga ini "mati" dalam mindanya, pulau khayalan Jana mula tenggelam, memaksa Jana untuk sedar kembali ke realiti sebenar. Dia kini sebatang kara, terapung lemah di atas bot penyelamat sementara menunggu pasukan penyelamat yang sebenar tiba.

Realiti Kejam Mangsa Perang & Pelarian

Bijak sungguh pengarah filem menggunakan analogi dan metafora sebegini. Kesan sedih dia buat che kak rasa sebak sangat-sangat sampai sekarang. Kasihan sangat kat anak-anak kecil mangsa perang. 

Kesan psikologi (trauma) mereka sangat dalam sampai terpaksa "cipta dunia baru" semata-mata nak lari daripada ketakutan yang melampau.

Apabila tengok cerita begini, kita akan terfikir nasib jutaan pelarian kat luar sana. Terpaksa gadai nyawa di lautan lepas demi cari tempat berlindung, kesudahannya ramai yang berakhir dengan tragedi.

Pengajaran Terbesar: Ibu Bapa Adalah "Istana" Sebenar

Filem ini mengajar kita satu realiti tentang kasih sayang keluarga. Keluarga adalah benteng sebenar bagi seorang anak. "Istana" paling selamat untuk mereka bukanlah bangunan fizikal yang gah tapi pelukan hangat dan adanya mak ayah di sisi.

Bila hilang semuanya, maka runtuhlah dunia mereka. Sekelip mata, istana pasir yang dibina hancur dipukul ombak realiti.

Korang dah tengok filem ni? Sediakan tisu siap-siap ya!


No comments:

ads
Powered by Blogger.