Mengapa Kerja Lapangan Itu Penting
22 tahun yang lalu, che kak pernah terpaksa memanjat tangga sehingga ke tingkat 15 sebuah flat di Kuala Lumpur. Selepas selesai urusan, che kak perlu turun semula 15 tingkat. Bayangkan, ketika itu che kak sedang sarat mengandung! Semuanya gara-gara lif flat yang rosak.
Sebaik sahaja tiba di pejabat, che kak terus tertidur di surau kerana terlalu penat. Sungguh satu memori yang tidak akan che kak lupakan.
Dulu, menyiasat kes di kawasan flat dan setinggan sudah menjadi rutin harian che kak. Malah, situasi luar biasa seperti terpaksa melompat di atas meja makan di rumah klien Non-Muslim pun merupakan perkara biasa bagi che kak.
Vibe Kuala Lumpur di Kota Bharu
Baru-baru ini, che kak berkesempatan menemani pekerja kes untuk melawat satu kes bantuan di sebuah flat di sekitar Kota Bharu. Pengalaman itu serta-merta mengembalikan vibe dan memori lama che kak di Kuala Lumpur.
Namun bezanya, kali ini baru sahaja memanjat (guna lift) separuh daripada 23 tingkat keseluruhan, gayatnya bukan main. Kepala che kak mula berpusing dan pening. Setibanya di pejabat, che kak terus menelan Panadol dan melelapkan mata seketika di bilik untuk melepaskan lelah.
Singgah makan? Sudah tentu! Orang Kelantan kata, "Makan tok leh ttala wei" (makan tidak boleh tinggal).
Erti Sebenar Kerja Lapangan
Walaupun memenatkan, ini adalah memori dan renungan yang sangat indah bagi che kak sebagai seorang Pekerja Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Di lapangan, tugas kita bukan sekadar membawa borang dan pen untuk mencatat maklumat laporan. Kita turun ke padang untuk:
- Menyiasat & Menilai: Memeriksa kesahihan maklumat dengan teliti.
- Mendengar & Memahami: Memberi ruang kepada klien untuk meluahkan isi hati mereka.
- Melihat Realiti: Menyaksikan sendiri keadaan rumah, persekitaran, sokongan sosial, dan cabaran sebenar yang mereka hadapi.
Di sinilah empati kita dibina. Di sini juga keputusan yang lebih adil dapat dibuat, sekali gus memastikan bantuan disalurkan kepada mereka yang benar-benar layak dengan lebih berkesan.
Adil Walaupun Tidak Layak
Memang tidak dinafikan, ada kalanya hasil siasatan mendapati sesetengah kes tidak layak menerima bantuan. Namun, melalui kerja lapangan, keputusan menolak permohonan tersebut dapat dibuat dengan lebih yakin, adil dan berfakta. Kita tahu keputusan itu tepat kerana kita telah melihat sendiri realiti kehidupan mereka dengan mata kepala sendiri.
Kerja lapangan memang meletihkan tetapi di situlah letaknya nilai dan makna sebenar sebuah perkhidmatan sosial.
*Nota: Pandangan dan penulisan di dalam artikel ini adalah hak milik dan pendapat peribadi penulis sepenuhnya serta tidak mewakili dasar atau pandangan rasmi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).



No comments: