Kenapa Hubungan Adik Beradik Rapuh?
Tular baru-baru ini kes pergaduhan di Pasar Melor, Kelantan. Insiden itu tiba-tiba membuatkan che kak teringat semula satu kejadian ngeri yang pernah che kak saksikan sendiri di sebuah pasar raya tidak lama dahulu.
Kejadian itu benar-benar mengejutkan che kak. Di depan mata kami, seorang kakak tergamak memukul adiknya sendiri dengan begitu agresif. Wajah si adik berdarah, malah tudung shawl yang dipakainya turut tercabut sehingga menampakkan rambut. Di tepi mereka, si ibu kelihatan sangat tertekan dan bermatian-matian cuba meleraikan pergaduhan tersebut.
Suasana begitu tegang. Hanya selepas si kakak beredar, barulah orang awam termasuk che kak berani mendekati si adik dan ibunya. Melihat darah yang masih mengalir di pipi si adik, che kak menawarkan diri untuk menghantar mereka ke klinik berdekatan.
Sebagai seorang manusia, che kak tidak dapat membayangkan betapa hancurnya lumat perasaan seorang ibu. Melihat anak-anak yang dikandung dan dibesarkan bersama, sanggup berbuat sedemikian rupa. Lebih menyedihkan, ia berlaku di tempat awam. Malu, sedih dan kecewa semuanya bercampur baur.
Selepas menghantar mereka ke klinik, che kak terus pulang dan tidak tahu apa lagi yang berlaku seterusnya. Namun, peristiwa itu meninggalkan kesan yang mendalam dalam diri che kak.
Di Mana Silapnya?
Bagaimana hubungan darah daging yang sepatutnya menjadi penyokong kuat boleh menjadi serapuh itu?
Satu perkara yang pasti, pergaduhan besar seperti itu tidak akan terjadi secara tiba-tiba. Ia bukanlah tular kerana isu remeh hari itu sahaja. Sebaliknya, ia adalah hasil daripada marah yang lama terpendam, dendam yang disimpan dan isu keluarga yang tidak pernah diselesaikan, menanti masa sahaja untuk meletus menjadi 'bom jangka'.
Antara punca utama yang sering meretakkan hubungan adik-beradik termasuklah:
* Ego yang tinggi dan enggan mengalah.
* Isu pembahagian harta pusaka atau wang ringgit.
* Sikap pilih kasih atau toksik yang tidak dibendung sejak kecil.
Hubungan Darah Terlalu Mahal Untuk Dikorbankan
Mudah-mudahan persengketaan dua beradik yang kami saksikan itu tidak berpanjangan. Semoga masih ada ruang di hati mereka untuk saling memaafkan, berdamai dan kembali kepada fitrah asal sebagai adik-beradik.
Ingatlah, hubungan adik-beradik ini terlalu mahal nilai dan harganya untuk dikorbankan hanya disebabkan oleh amarah yang sementara.
Bagaimana pula dengan anda? Pernahkah anda berhadapan dengan situasi konflik keluarga yang tegang sebegini?



No comments: