Bila Kepercayaan Hilang, Persahabatan Tak Lagi Sama
Kalau nak bercerita tentang keadilan berkaitan gaji atau upah, memang takkan habis ceritanya.
Macam Jep dan Shuib tu la.
Ironinya, dalam contoh kerja OT ketika banjir, sama-sama bertugas menjaga PPS, mengangkat beras beratus-ratus kilo sampai mengalahkan Bangla.
Tetapi hujung-hujungnya bayaran OT tetap tak sama kerana mengikut gred dan kadar yang telah ditetapkan sejak dahulu kala.
Namun, tak adalah pula kita nak berdengki atau bergaduh sesama sendiri kerana masing-masing tahu, kalau rajin buat kerja, adalah hasilnya, kalau malas, duduk diam-diam sahajalah dalam gua.
Isunya bukan semata-mata soal duit atau bayaran, tetapi soal persahabatan yang telah terjalin lama.
Kalau benar ikhlas berkawan, biasanya kita tak tergamak nak menyindir atau memburukkan kawan sendiri secara terbuka.
Kalau ada yang tak puas hati, beranilah bertanya secara baik atau selesaikan konflik itu segera.
Bukannya memendam rasa kemudian melepaskannya melalui sindiran yang mengundang salah faham dan jadi fitnah pula.
Dalam persahabatan, perkara pertama yang penting ialah rasa selesa antara satu sama lain, tak perlu sekepala dalam semua perkara, asalkan kita tahu meraikan persamaan dan menghormati perbezaan yang ada.
Suami isteri yang tidur sebantal pun boleh bergaduh dan bermasam muka, apatah lagi kawan yang masing-masing mempunyai perangai, prinsip dan pandangan hidup yang berbeza-beza.
Namun, apabila rasa percaya sudah hilang, bukan mudah untuk kembali rapat seperti sediakala kerana luka akibat kata-kata kadangkala lebih sukar sembuh daripada luka yang terlihat pada mata.
Akhirnya, bawalah haluan masing-masing dan bina impian sendiri bersama keluarga.
Tak perlu bermusuh dan berdendam, cukuplah sekadar menjaga batas dan menghormati ruang masing-masing kerana rezeki sangat luas di dunia yang fana.
Kawan tak perlu ramai, cukuplah seorang dua yang benar-benar ikhlas, yang bukan sahaja ada ketika kita senang tetapi masih sudi membantu menguruskan jenazah kita apabila tiba masanya.



No comments: