Jangan Hanya Ajar Isteri Bersabar, Suami yang Zalim Juga Perlu Ditegur

Che kak tak faham kenapa ada sesetengah orang yang bergelar ustaz terlalu gemar mengkritik dan menyalahkan isteri yang menjadi mangsa dalam rumah tangga.

Asyik suruh isteri bersabar, reda, taat, siap cop nusyuz. Walhal, ramai isteri dah bertahun-tahun bersabar dengan perangai suami yang tak bertanggungjawab, curang, panas baran dan mengabaikan keluarga.

Asal suami curang, isteri juga yang dipersoalkan. Asal isteri minta cerai, terus diugut dengan kata-kata tak bau syurga.



Kenapa tak sesekali nasihatkan kaum lelaki supaya berubah menjadi suami yang benar-benar qawwam? Bukankah isteri dan anak-anak itu amanah daripada Allah yang akan dipersoalkan kelak?

Cubalah sesekali tegur suami yang curang. Ingatkan mereka tentang risiko membawa pulang penyakit kelamin kepada isteri yang setia. Tegurlah suami yang menjadi biawak hidup, terlibat dengan dadah, judi, kaki pukul dan baran tak bertempat.

Nasihatkan juga suami yang lepas tangan dalam urusan rumah tangga supaya sama-sama mendidik, menjaga dan membesarkan anak. Anak itu bukan tanggungjawab isteri seorang.

Kalau pandai bercakap tentang kewajipan isteri, bercakaplah juga tentang kewajipan suami. Kalau berani menegur dosa isteri, beranilah juga menegur dosa suami.

Jangan hanya lantang bercakap tentang ketaatan isteri, tetapi diam apabila suami mengabaikan nafkah, mengkhianati kepercayaan, melakukan keganasan dan menzalimi keluarganya.

Isteri yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga pun sama. Kenapa mereka yang disuruh bersabar, sedangkan suami yang melakukan penganiayaan tidak ditegur? Seolah-olah isteri itu tiada maruah, hak dan keluarga yang akan mempertahankannya.

Sabar bukan bermaksud membiarkan diri terus dizalimi. Reda bukan bermaksud menerima segala bentuk penganiayaan.  Mempertahankan diri bukan bermaksud derhaka.

Jangan gunakan agama untuk menakut-nakutkan wanita yang sedang berjuang menyelamatkan dirinya dan anak-anak. Jangan jadikan takdir sebagai alasan untuk membiarkan kezaliman berterusan.

Kalau benar mahu membimbing masyarakat dengan ilmu agama, ajarlah kedua-dua pihak tentang tanggungjawab masing-masing. Bukan hanya menyuruh isteri memperbaiki diri, tetapi membiarkan suami terus merosakkan rumah tangga tanpa teguran yang sewajarnya.

Ingat, agama bukan sekadar mengajar isteri cara menjadi isteri yang baik. Agama juga mengajar suami cara menjadi suami yang baik.

Ilmu agama yang disampaikan secara berat sebelah inilah yang akhirnya membuatkan orang hilang kepercayaan. 

Bukan kerana mereka membenci agama, tetapi kerana mereka penat melihat agama seolah-olah hanya digunakan untuk menuntut pengorbanan daripada wanita, sedangkan kezaliman terhadap mereka dibiarkan.

#mantanpenyelarasunitpuyangtraumadengankeskrt

No comments:

ads
Powered by Blogger.