4 Langkah Urus Aduan Awam Dengan Profesional (Bukan Dengan Saman)

Apabila agensi atau jabatan memberikan perkhidmatan kepada orang awam, isu ketidakpuasan hati pelanggan adalah perkara biasa dan pasti akan berlaku.

Atas sebab itulah, setiap agensi wajib mempunyai penyelarasan khusus untuk menguruskan aduan dengan baik. Aduan bukan sesuatu yang perlu ditakuti, sebaliknya ia adalah ruang untuk penambahbaikan.

Apabila timbul sesuatu aduan, berikut adalah empat langkah sewajarnya yang perlu diambil oleh pihak pengurusan:

1. Bertenang dan turun padang

Lantik wakil khas untuk turun padang, bersemuka dengan pengadu dan kenal pasti sendiri punca sebenar mengapa isu itu boleh berlaku. 

Elakkan bersikap defensif. Setelah mendapat gambaran sebenar, tulis dan jawab aduan tersebut secara rasmi dan profesional.

2. Terima aduan dari semua saluran

Jangan hadkan penerimaan aduan hanya melalui borang atau saluran rasmi semata-mata. Baik aduan di akhbar mahupun luahan di media sosial, semuanya perlu dipandang serius.

Hakikatnya, orang awam meluahkan rasa tidak puas hati di media sosial kerana mereka sudah kecewa. 

Mungkin salah satu puncanya disebabkan panggilan telefon ke pejabat tidak berjawab, atau apabila datang berurusan di kaunter pula dilayan acuh tak acuh. Akhirnya, media sosial menjadi jalan terakhir untuk mereka meluahkan perasaan.

3. Ambil tindakan mengikut SOP

Apabila punca masalah sudah dikenal pasti, terus selesaikan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) dan garis panduan yang sedia ada. 

Tindakan yang pantas tanpa bertangguh akan meredakan kemarahan pengadu serta memulihkan kepercayaan mereka.

4. Tambah baik mutu perkhidmatan

Memang mustahil untuk kita memuaskan hati semua orang. Namun sekurang-kurangnya, pastikan mutu perkhidmatan sentiasa selari dengan SOP yang ditetapkan supaya jumlah aduan dapat dikurangkan dari semasa ke semasa.

Kesimpulan

Teguran dan aduan adalah sebahagian daripada proses untuk memajukan penyampaian perkhidmatan awam. Bayangkan kalau setiap aduan dan teguran orang awam hendak diselesaikan melalui saman, berapa banyak agensi atau jabatan kerajaan yang akan menyaman rakyat sendiri?


Perkongsian daripada pengalaman sebagai #MantanPenyelarasAduanPelanggan


No comments:

ads
Powered by Blogger.