Miskin Harta Bukan Tiket Untuk Hidup Pengotor

Che kak pernah melawat sebuah rumah papan yang sangat daif. Tiada sofa mewah, perabot mahupun sebarang peralatan moden. 

Namun, apa yang membuatkan che kak berasa amat kagum ialah penghuninya tetap menjaga kebersihan dan kekemasan rumah dengan baik.

Lantainya bersih disapu, barang-barangnya tersusun rapi. Masuk ke dalam rumah itu, hati rasa tenang walaupun serba kekurangan.

Hakikatnya, hidup susah dan miskin bukanlah tiket untuk mengabaikan kebersihan. Kebersihan tidak memerlukan duit yang banyak, cukup sekadar kerajinan dan disiplin diri.


Berdasarkan pemerhatian che kak, punca utama sesebuah rumah itu menjadi kotor dan bersepah bukanlah kerana tiada duit, tetapi disebabkan sikap sambil lewa terhadap perkara asas:

• Plastik makanan dibuang merata-rata tanpa dikutip.

• Pinggan mangkuk dan gelas dibiarkan bertimbun dan tidak berbasuh selama berhari-hari.

• Tilam, bantal, selimut atau toto di ruang tamu dibiarkan dan tidak dilipat selepas bangun tidur.

• Pakaian bersepah-sepah di merata tempat tanpa dilipat atau digantung elok.

• Keadaan tandas yang sangat kotor dan berlumut sehingga tidak sanggup dipandang.

Apa yang lebih menyedihkan, di dalam rumah tersebut kadang-kadang ramai sahaja anak dara dan bujang yang sudah besar dan sihat tubuh badan.

Sepatutnya merekalah yang ringan tulang membantu mengemas rumah dan meringankan beban ibu bapa.

Malah, ada satu pengalaman yang paling sukar che kak lupakan. Che kak pernah melawat rumah peniaga makanan. 

Melihatkan keadaan rumahnya yang terlalu kotor dan tidak terurus, sehingga ke hari ini che kak berasa sukar untuk membeli makanan daripadanya lagi, walaupun niat asal mahu menyokong perniagaannya.

Bagi seorang peniaga, kebersihan juga amanah kepada pelanggan yang membeli.

Biarlah kita miskin harta, asalkan tidak miskin jiwa dan adab dalam menjaga kebersihan tempat tinggal.

No comments:

ads
Powered by Blogger.